1 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti isu kebocoran butiran sulit penyiasatan didedahkan kepada ahli politik untuk kepentingan pihak yang disiasat.
Ia berikutan laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini yang bertajuk “Bekas Peguam Negara Arahkan SPRM Batal Pembekuan Akaun Milik Bos Hartanah Selepas Diminta Guan Eng”.
Jelas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya lagi, tindakan SPRM melepaskan akaun-akaun milik taikun berkenaan atas arahan Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas.
“SPRM memandang serius berhubung isu ini dan akan menjalankan siasatan bagaimana butir-butir sulit penyiasatan ini boleh didedahkan kepada ahli politik.
“Dan ahli politik terbabit telah menggunakan pengaruh beliau untuk membolehkan Peguam Negara ketika itu mengeluarkan arahan agar SPRM melepaskan keempat-empat akaun milik taikun yang berkenaan,” katanya kepada PNBBC Portal.
Menurut laporan FMT, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng didakwa pernah meminta Peguam Negara membatalkan arahan pembekuan melibatkan beberapa akaun bank milik seorang taikun hartanah yang sedang disiasat berhubung transaksi kira-kira RM4 juta dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Turut dijelaskan bahawa SPRM telah memaklumkan kepada pendakwa raya sebelum ini bahawa wang sebanyak RM4 juta gagal dipulangkan taikun berkenaan kepada kerajaan.
Namun, melalui surat daripada menteri berkenaan kepada Peguam Negara, SPRM telah diarahkan untuk melepaskan pembekuan kesemua akaun-akaun tersebut. – Oleh ASLINDA NASIR