1 JUN: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan supaya kerajaan melaksanakan undang-undang toleransi sifar bagi membanteras perbuatan memandu dalam keadaan mabuk.
Menurut beliau, undang-undang serupa telah dikuatkuasakan di China sejak 10 tahun lalu.
Najib percaya tiada siapa yang akan membantah atau mengadu jika langkah yang sama dilaksanakan di negara ini.
“Hukuman maksimum untuk kesalahan pemandu mabuk sebabkan kematian juga perlu sepadan dengan undang-undang jenayah di bawah kanun keseksaan – bukan hukuman maksima penjara 20 tahun seperti dicadang Pakatan Harapan (PH).
“Kerajaan juga boleh aturkan bantuan saman sivil kepada keluarga mangsa kemalangan setelah kes jenayah selesai untuk mendapat pampasan kewangan setimpal,” jelasnya melalui hantaran dalam laman Facebook miliknya hari ini.
Pada masa yang sama, beliau meminta mereka yang meminum arak supaya tidak memandu apabila mabuk.
“Kawan-kawan yang minum bersama dan mereka yang mengendali tempat minuman ada tanggungjawab untuk memastikan kawan-kawan dan pelanggan mereka tidak memandu jika telah mabuk,” ujarnya.
Selain itu, Najib mencadangkan supaya kempen pendidikan bagi membanteras pemandu mabuk perlu dilakukan secara berterusan melalui media.
Beliau memberitahu, pengeluar dan pemain industri minuman beralkohol seharusnya menyalurkan dana yang signifikan kepada kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenal pasti untuk menjayakan kempen tersebut.