Agong, Erdogan bincang kerjasama Malaysia-Turki
2 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menerima panggilan secara peribadi daripada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di Istana Negara, semalam.
Memetik kenyataan dalam laman Facebook rasmi Istana Negara, perbualan telefon itu berlangsung selama 30 minit mulai pukul 4 petang.
Kedua-dua pemimpin menumpukan perbincangan tentang bagaimana Malaysia dan Turki boleh berkerjasama dalam menangani cabaran semasa penularan wabak dan pasca COVID-19.
Seri Paduka dan Erdogan turut berbincang mengenai langkah-langkah memperkasakan hubungan dua hala sedia ada dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Sesi semalam merupakan perbincangan julung-julung kali di antara Seri Paduka dan Erdogan menerusi perbualan telefon.
Seri Paduka dijadual mengadakan lawatan negara ke Turki selama lima hari, bermula pada April 19, 2020.
Walau bagaimanapun, lawatan tersebut telah ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19.
Terdahulu pada 18 Disember 2019, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima kunjungan hormat Erdogan di Istana Negara sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.
Kunjungan itu adalah yang pertama bagi Erdogan dengan Seri Paduka Baginda sejak Al-Sultan Abdullah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari tahun lalu.
Dalam pertemuan selama 30 minit tersebut, kedua-dua pemimpin telah membincangkan mengenai keperluan bagi sektor swasta kedua-dua negara memainkan peranan lebih aktif dalam meneroka peluang perdagangan serta pelaburan di Malaysia dan Turki, selain mengukuhkan lagi hubungan dua hala.
Dalam pertemuan itu, Seri Paduka turut menggalakkan dan mempelawa sektor swasta Turki untuk melabur di Malaysia, terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Turki merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia dari Asia Barat, manakala untuk Turki, Malaysia adalah rakan dagangan terbesar di rantau ASEAN.
Sepanjang Januari sehingga Julai 2019, perdagangan antara kedua negara mencatatkan nilai RM5.22 bilion.
Nilai eksport Malaysia mencecah RM4.24 bilion manakala import dari Turki pulai bernilai RM0.98 bilion. – Oleh HUSSAINI AMRAN