Hadkan jumlah premis, masa jualan arak
2 JUN: Kerajaan disarankan supaya mengehadkan jumlah premis jualan arak dan masa untuk membeli minuman keras bagi membanteras gejala pemandu mabuk.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman (gambar) berkata, kerajaan Pusat boleh mencontohi langkah sama yang diambil oleh kerajaan negeri Kelantan yang mengehadkan penjualan arak secara terbuka sejak 1990.
“Saya juga memohon pihak berkuasa untuk mengadakan sekatan jalan raya yang lebih kerap untuk mengesan pemandu mabuk ini.
“Perbanyakkan alat menguji paras alkohol untuk mengesan pemandu mabuk secara terus,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krai yakin semua pihak bersetuju supaya undang-undang yang lebih keras dikuatkuasakan untuk menyelesaikan masalah kemalangan maut akibat sikap tidak bertanggungjawab pemandu mabuk.
“Sama-sama kita doakan agar undang- undang ini berjaya dibentang dan diluluskan pada persidangan bulan Julai nanti,” katanya.
Abdul Latiff turut bersetuju dengan cadangan untuk melaksanakan hukuman mati dan denda lebih tinggi selain bayaran khas diberikan kepada keluarga mereka yang menjadi mangsa kemalangan maut akibat pemandu mabuk.
“Di samping itu, pihak berkuasa juga perlu membantu keluarga mangsa kemalangan maut akibat pemandu mabuk, terutamanya bagi membolehkan mereka membuat tuntutan sivil di mahkamah sebagai hak mereka di sisi undang-undang,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau menambah, elemen keagamaan boleh diterapkan dalam modul sekolah memandu agar berupaya melahirkan pemandu yang bertanggungjawab dan lebih menghargai nyawa pengguna jalan raya yang lain. – Oleh HAIKA KHAZI