2 JUN: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, mempertikaikan ‘layanan istimewa’ yang diberikan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kepada seorang taikun hartanah yang akaunnya pernah dibekukan kerana dipercayai terbabit dengan kes rasuah.
Beliau juga mempertikaikan bagaimana Guan Eng boleh menulis surat kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bagi meminta pembatalan arahan pembekuan akaun milik taikun berkenaan yang sedang disiasat SPRM.
“Apa yang istimewa sangat ‘taikun’ pada bekas Menteri Kewangan sampai sanggup tulis surat kepada bekas Peguam Negara minta batal arahan pembekuan akaun taikun yang disiasat SPRM? Tan Sri Tommy sila jawab dan jangan pula tuduh SPRM tipu pulak lagi!” kata Dzulkifli dalam ciapan Twitter miliknya semalam.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkongsi soalan yang hampir serupa dengan Dzulkifli dalam isu yang melibatkan Guan Eng tersebut.
“Soalan saya adalah berbunyi: Apa faedah Lim Guan Eng dapat bila dia minta Peguam Negara batalkan arahan pembekuan ke atas empat akaun bank milik taikun hartanah terbabit?” soalnya dalam laman Facebook miliknya hari ini.
Sebelum ini media melaporkan Guan Eng pernah meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) membatalkan arahan pembekuan membabitkan beberapa akaun bank milik seorang taikun hartanah yang sedang disiasat berhubung transaksi kira-kira RM4 juta dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Pendedahan itu kurang sebulan selepas pihak berkuasa dikritik kerana bersetuju melepaskan Riza Aziz dengan syarat dia mengembalikan wang yang didakwa diselewengkan daripada syarikat milik negara itu.
Thomas dikatakan membuat keputusan terbabit walaupun diberitahu SPRM yang wang sebanyak RM4 juta gagal dipulangkan oleh taikun itu kepada kerajaan.
Bekas Peguam Negara itu kemudiannya mengarahkan SPRM menarik balik pembekuan ke atas empat akaun bank berkenaan, menurut surat jawapannya kepada Guan Eng.
Malah, dalam surat itu, Tommy mengaku diberitahu SPRM yang sebahagian besar wang kira-kira RM3.9 juta tersebut tidak lagi ditemui dalam salah satu akaun bank yang dikatakan menerima dana itu.
Tindakan Lim membuat permintaan itu kepada Tommy tidak disenangi pihak yang rapat dengan penyiasatan kes membabitkan berkenaan. – Oleh HAIKA KHAZI