2 JUN: 7,000 taman asuhan kanak-kanak yang berdaftar dengan kerajaan dibenarkan beroperasi sepenuhnya.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ia diputuskan selepas mesyuarat khas menteri meluluskan tatacara operasi standard yang diperkemaskan berhubung operasi taska hari ini.
Pengusaha diminta merujuk laman web Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk maklumat lanjut.
Sebelum ini, hanya 304 taska dibenarkan beroperasi berpandukan SOP kerajaan semasa perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa.
“SOP taska yang diperkemaskan ini akan membolehkan baki 6,696 Taska untuk beroperasi serta merta,” katanya pada sidang media hari ini.
Berkenaan taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) pula, SOP operasinya akan diselaraskan Kementerian Pendidikan sebelum dibenarkan beroperasi.
“Ini kerana pengurusan Tadika dan Tabika bawah penyeliaan pelbagai kementerian,” katanya.