2 JUN: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak ada sebab untuk beliau atau Bersatu keluar daripada PH selepas Berjaya menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, agak pelik bagi Bersatu yang bekerjasama menjatuhkan Najib dicadang bekerjasama dengan bekas perdana menteri itu.
Bekas pengerusi Bersatu itu berkata demikian dalam satu rakaman video bagi mengulas gambar tular beliau dan presiden beberapa parti termasuk UMNO dan PAS terbabit satu perjumpaan Februari lalu.
Katanya mesyuarat itu diadakan susulan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk membentuk gabungan baru dan menyampaikan perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, katanya, beliau mahu perkara itu difikirkan secara mendalam terlebih dahulu.
“Akhirnya mereka setuju untuk beri masa kepada saya. Bahkan (Tan Sri )Muhyiddin (Yassin) beri masa kepada saya satu minggu untuk membuat keputusan,” katanya.
Dr Mahathir mendedahkan Muhyiddin beberapa kali datang berjumpa dengannya supaya bersetuju dengan cadangan itu.
“Saya tak tolak dia sama sekali, cuma saya kata saya akan fikir berkenaan perkara ini.
“Tapi saya tak setuju untuk keluar kerana pada masa itu saya berpendapat bahawa saya adalah daripada PH yang menang dengan perjuangan untuk jatuhkan Datuk Seri Najib
“Jadi agak pelik bagi Bersatu, yang tolong jatuhkan Najib, untuk dicadang bekerjama dengan Datuk Seri Najib,” katanya.
Dihujung penjelasannya, Dr Mahathir turut mengulas cakap-cakap PH akan dikuasai DAP.
Pada pendapatnya, tidak mungkin DAP menguasai PH kerana sebagai perdana menteri beliau tidak akan bersetuju dengan apa juga cadangan yang tidak memberi pertimbangan kepada semua pihak khususnya orang Melayu.
Bagaimanapun, umum tahun Dr Mahathir sebelum ini cuba menarik sokongan ahli-ahli parlimen Melayu khususnya dari UMNO dan PAS kerana bimbang dengan pengaruh dan kuasa DAP dalam PH.