4 JUN: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini kembali memasuki pejabat setelah selesai menjalani kuarantin selama 14 hari.
Beliau telah menjalani perintah kuarantin bermula 22 Mei lalu, selepas seorang daripada pegawai yang hadir pada mesyuarat pasca-Kabinet di pejabat Perdana Menteri disahkan positif Covid-19.
Perdana Menteri memulakan tugasan hari ini dengan mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi sesi pra-Kabinet menerusi persidangan video.
Muhyiddin kemudiannya mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang dihadiri semua anggota jemaah Menteri.
Mesyuarat Kabinet hari ini diadakan secara persidangan video di mana menteri-menteri Kabinet berada di dua bilik mesyuarat berasingan di bangunan Perdana Putra.
Langkah yang julung kali diadakan ini adalah bagi menjamin amalan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat dapat dilaksanakan pada setiap masa.
Sebelum ini, sepanjang tempoh tersebut, Muhyiddin telah menjalankan tugas rasmi dengan cara bekerja dari rumah.
Selasa lalu, beliau sekali lagi telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan disahkan negatif.