4 JUN: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dicabar untuk mengulas tentang isu berkaitan arahan menarik balik pembekuan empat akaun bank milik seorang taikun hartanah yang didakwa melibatkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Cabaran itu dilontarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Komenlah sikit tentang surat-surat ‘cinta’ antara anakmu dengan Tommy yang telah terbongkar dan viral sejak semalam,” katanya melalui Facebook.
Kelmarin, tular salinan surat yang didakwa ditulis oleh bekas Tommy kepada bekas Guan Eng.
Surat bertarikh 14 Jun 2019 itu mengandungi maklumbalas Tommy terhadap permohonan Guan Eng agar pembekuan terhadap empat akaun bank milik seorang taikun hartanah bergelar Tan Sri dibatalkan.
Setiausaha Agung DAP itu mengemukakan permohonan tersebut secara bertulis melalui surat bertarikh 31 Mei 2019.
Dalam surat tersebut, Tommy menjelaskan bahawa pembekuan empat akaun terbabit dilakukan ekoran siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 21 cek dengan jumlah keseluruhan RM4,085,561 yang dipercayai dari sumber-sumber yang meragukan dan melanggar undang-undang.
Dalam perkembangan lain, Najib menyindir tindakan Kit Siang yang hanya tahu mengkritik usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19.
Beliau mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menuduh rakyat Malaysia gagal bersatu padu melawan COVID-19.
“Uncle, kamu duduk negara yang mana?” soalnya secara sinis.
Najib seterusnya meminta Kit Siang membandingkan usaha Malaysia dengan negara-negara jiran dan negara-negara Barat. – Oleh HUSSAINI AMRAN