4 JUN: Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh mengesahkan bahawa beliau meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya berkuat kuasa hari ini.
Memetik laporan BH Online, beliau mengakui bahawa tidak lagi menganggotai Kabinet yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ya, betul saya meletakkan jawatan,” katanya ringkas kepada BH Online menerusi WhatsApp sekali gus mengesahkan perkara itu.
Terdahulu, dalam satu kenyataan media yang tular di laman sosial, Shahruddin berkata, beliau berbuat demikian kerana menyedari sudah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat iaitu dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Berikutan itu, beliau mengambil tindakan drastik dengan meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.
Jelasnya, tindakan tersebut diambil atas pertimbangan bahawa pengundi-pengundi di kawasan Parlimen Sri Gading telah memilih Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Sebagai langkah awal bagi saya membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh Perdana Menteri dari kerajaan PN,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Difahamkan, kedudukan Shahruddin di dalam Dewan Rakyat masih kekal bersama penyokong kerajaan PN.