5 JUN: Dua tapak binaan diarahkan tutup semalam menjadikan jumlah kumulatif kepada 12 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 1,312 tapak binaan lagi didapati mematuhi SOP.
“Semalam, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 191 tapak binaan di seluruh Malaysia yang membabitkan 193 penguat kuasa.
“Daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB telah mendapati 101 tapak binaan patuh SOP yang ditetapkan manakala tujuh tapak binaan tidak patuh dan diberi amaran,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sementara itu sebanyak 169 pusat kuarantin beroperasi dengan 14,555 sedang menjalani proses kuarantin wajib.
Ismail Sabri berkata semalam seramai 297 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dari Singapura, Indonesia, Thailand, Qatar, Jepun, China, Australia serta Belanda dan dikuarantin wajib.
“Seramai 49,808 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April 2020.
“Sehingga hari ini, seramai 39,372 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang,” katanya.
Sementara itu, katanya, sebanyak 77 operasi sanitasi meliputi 50 zon di 12 negeri. Ini termasuk, di Sabah dan Melaka iaitu masing-masing 14 operasi serta Sarawak dengan 13 operasi.