E-dagang menyumbang 8% KDNK Malaysia
5 JUN: Perdagangan elektronik atau e-dagang menyumbang sebanyak RM115.5 bilion kepada ekonomi negara pada 2018, merangkumi kira-kira lapan peratus daripada nilai keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong (gambar) berkata, e-dagang memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan memasarkan serta mempromosikan produk mereka ke pasaran yang lebih luas.
Beliau memberitahu, kerajaan telah memberikan insentif dan bantuan bagi mendorong penggunaan e-dagang dalam kalangan pengusaha PKS.
“Walaupun terdapat sebilangan perniagaan yang telah memulakan transformasi digital, masih banyak lagi yang belum menganjakkan langkah mereka ke arah edagang.
“Untuk menggalakkan peralihan perniagaan tempatan kepada e-dagang, antara insentif yang disediakan kerajaan adalah melalui Program eTRADE oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), sebuah agensi di bawah MITI,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Program eTRADE menawarkan RM5,000 kepada pemohon yang berkelayakan dalam bentuk e-baucar atau bayaran balik ke atas perbelanjaan, atau kedua-duanya.
Syarikat-syarikat di bawah program eTRADE berpeluang untuk menyertai pelbagai platform e-dagang antarabangsa dari beberapa negara di seluruh dunia termasuk negara-negara ASEAN, China, India dan Amerika Syarikat.
Inisiatif eTRADE bertujuan mendorong syarikat-syarikat tempatan mempercepatkan penglibatan mereka ke dalam rantaian bekalan global melalui aktiviti eksport secara dalam talian. – Oleh HUSSAINI AMRAN