5 JUN : Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam tadi mengesahkan keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad dan 4 pemimpin lain “terhenti” serta-merta menurut perlembagaan parti itu.
“Tafsiran MPT berhubung terhentinya keahlian mereka adalah muktamad,” kata Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan pagi ini yang turut merakam ucapan terima kasih kepada mereka berlima.
Selain Tun Mahathir, mereka adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Armiruddin Hamzah.
Menurut Hamzah, MPT juga membuat keputusan menyokong dan memberikan mandat penuh terhadap kepimpinan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke 8 yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong berlandaskan perlembagaan negara.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan mesyuarat yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) sehingga jam 10 malam tadi.
Menurutnya lagi, MPT mengiktiraf tugas yang digalas Muhyiddin sebagai pemangku Pengerusi yang sah selaras Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, setelah peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi parti pada 24 Februari 2020.
Selain itu, mesyuarat juga mengesahkan keputusan untuk Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan pada mesyuarat MPT 23 Februari lalu dan pengumuman rasmi dibuat oleh Muhyiddin selaku pemangku Pengerusi pada 24 Februari itu adalah sah dan teratur.
Mesyuarat juga mengesahkan keputusan memuktamadkan penyertaan PPBM dalam gabungan yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional bertepatan dengan matlamat, tujuan, dan dasar parti.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah turut menyentuh mengenai status dirinya sebagai Setiausaha Agung Bersatu, yang dilantik bagi menggantikan Senator Datuk Wira Marzuki Yahya yang diberhentikan melalui surat pemberhentian bertarikh 18 Mac 2020.
Katanya, pelantikan beliau sebagai Setiausaha Agung Bersatu yang baharu berkuatkuasa 26 Mac lalu adalah sah dan teratur mengikut perlembagaan parti.-Oleh ASLINDA NASIR