5 JUN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyambut baik keperihatinan kerajaan meluluskan peruntukan khas modal kerja RM300 juta bagi membantu usahawan Bumiputera dalam Institusi Pendidikan Tinggi dan Kemahiran.
Menterinya Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) pastinya dapat memperkasakan usahawan Bumiputera dalam industri pendidikan untuk terus kekal beroperasi pasca Covid-19.
“Pandemik Covid-19 ini memberi kesan langsung kepada sektor perkhidmatan termasuk Institusi Pendidikan dan Kemahiran milik usahawan Bumiputera berskala kecil.
“Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama konsultan dan pakar akan mencadangkan kaedah terbaik bagi membantu institusi pendidikan dan kemahiran menyusun perancangan dan strategi untuk keluar dari kemelut yang sedang dihadapi institusi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya pengalaman MARA dalam pengurusan institusi pendidikan boleh diguna dan dikongsikan bersama dengan institusi yang terkesan terutamanya institusi pendidikan yang mempunyai ramai pelajar antarabangsa seperti seperti Management and Science University (MSU), MAHSA University dan City Universiti Malaysia terjejas teruk kerana ketiadaan pelajar luar negara yang dibenarkan untuk melanjutkan pelajaran ke negara ini dalam waktu terdekat.
“Malah mungkin lebih terasa kerana operasi mereka banyak bergantung juga pada kemasukan pelajar asing dan mereka juga terus menampong kos tadbir urus yang sama sedangkan pelajar luar negara berkurang,” ujarnya.
Sehubungan itu kata Dr Latiff, bagi memastikan isu ini dapat ditangani secara holistik dan menyeluruh, KPLB akan menubuhkan satu jawatankuasa bersama dengan Menteri Pengajian Tinggi iaitu Datuk Dr Noraini Ahmad bagi memastikan setiap langkah yang diambil berkesan dalam jangka waktu terdekat dan diuruskan oleh MARA Corp. yang dimiliki sepenuhnya oleh MARA.
“KPLB yakin, MARA sebagai agensi kementerian yang berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan dan pendidikan serta latihan kemahiran dan vokasional, pastinya mampu berperanan untuk memastikan peruntukan modal kerja RM300 juta ini dapat menjana impak yang besar kepada ekonomi negara sekaligus menjamin kesejahteraan rakyat dan pelajar yang terkesan dalam industri ini sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung,” katanya lagi.