5 JUN: Ketika pembangkang mendakwa mempunyai bilangan majoriti ahli parlimen untuk mengambil alih kerajaan sekarang, Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @Jugah anak Muyang daripada PKR membuat kejutan apabila umum sokong kerajaan PN.
Keputusan itu katanya dibuat kerana kesal dengan permasalahan dalaman parti-parti dalam PH dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan sehingga tumbangnya kerajaan pimpinan gabungan parti itu.
“Oleh yang demikian, saa telah berbincang dengan penyokong saya dan mereka bersetuju saya menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional demi kebaikan dan pembangunan kawasan Lubok Antu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, beliau berikrar menyokong penuh kerajaan PN yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Datuk Abang Abdul Rahman Zohari demi kesejahteraan rakyat di Lubok Antu.
Untuk rekod, Tambat memang kerusi Parlimen Lubok Antu atas tiket Bebas pada PRU 14 lalu tetapi kemudiannya menyertai PKR bersama penyokong-penyokong.
PNBBC sudah mendapat maklumat beliau akan meninggalkan PKR sejak 2 minggu lalu tetapi Tambat difahamkan belum memuktamadkan keputusan tersebut.
Difahamkan seorang ahli parlimen daripada Sabah juga akan membuat keputusan keluar daripada parti diwakilinya untuk bersama-sama menyokong kerajaan PN.