Pemimpin kanan PH jumpa Anwar, tiada wakil Tun M
5 JUN: Sekumpulan pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) mengunjungi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediamannya di Kuala Lumpur malam tadi.
Mereka ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.
Walau bagaimanapun, bekas-bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad tidak kelihatan dalam gambar yang dikongsi melalui laman Facebook PH.
Pengendali laman Facebook berkenaan menjelaskan, pertemuan itu bertujuan mengulangi komitmen untuk bersama mengukuhkan PH dalam membuat setiap keputusan dan tindakan politik.
“PH akan membuat semua keputusan berasaskan konsensus. Insya-Allah perubahan besar dalam masa terdekat,” katanya.
Walau bagaimanapun, tiada maklumat dinyatakan berhubung ketidakhadiran Anwar atau wakil PKR dalam mesyuarat Pakatan Plus di Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur petang semalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN