7 JUN : Aktiviti sosial lain dibenarkan beroperasi bermula 10 Jun ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Jelas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia termasuklah kedai gunting rambut, salon, pasar pagi, pasar malam dan food truck.
Turut dibenarkan aktiviti memancing komersial atau di kolam memancing berbayar.
“Aktiviti komersial seperti lawatan ke muzium, dobi layan diri, dibenarkan beroperasi seperti biasa. Namun ia perlulah mematuhi segala Prosedur Operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam perutusan khas Ahad.
Bagaimanapun, premis seperti pub, kelab malam, pusat urut tidak dibenarkan untuk beroperasi.
Begitu juga dengan sukan yang melibatkan orang ramai perlu berkumpul seperti bola sepak dan bola keranjang, hoki, ragbi, gusti tinju, sukan renang juga masih tidak dibenarkan.
Bagi pendidikan pula, ia akan diumumkan dalam masa terdekat tentang aktiviti persekolahan oleh Menteri Pendidikan sendiri.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata PKPP ini dilaksanakan dengan mengambil kira 7 strategi iaitu Perundangan dan Penguatkuasan, Pengukuhan Kawalan Sempadan, Pembukaan Sepenuhnya ekonomi, Pembudayaan Kebiasaan Baru, Pemerkasaan Tanggungjawab Komuniti dan Perlindungan Golongan Berisiko.
Bagaimanapun, jelas Muhyiddin jika terdapat peningkatan kes Covid-19, maka Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akan dikenakan di kawasan tersebut.