7 JUN: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan digantikan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun hingga 31 Ogos ini.
Perdana menteri berkata, keputusan melaksanakan PKPP itu dibuat selepas mendapati kadar kes yang berlaku dalam kalangan warga tempatan di dalam negara semakin baik dan terdapat tren penurunan kes.
Katanya, lebih banyak kelonggaran akan diberikan, termasuk perjalanan rentas negeri dibenarkan bermula 10 Jub, kecuali di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
“Mereka yang ingin menziarahi ibu bapa berjauhan boleh berbuat demikian. Cuma nasihat saya, jaga kebersihan dan pakai topeng dan elak tempat sesak semasa pulang ke kampung,” katanya.
Muhyiddin berkata, aktiviti komersial bukan dalam premis dan sukan rekreasi, kecuali pertandingan dibenarkan.
“Pertandingan sukan dilarang yang melibatkan penonton ramai seperti di stadium, sukan renang dan sukan bersentuhan seperti ragbi, tinju dan hoki.”
Katanya, Aktiviti pelancongan domestik turut dibenarkan, tetapi pelancongan ke luar negara masih dilarang.
Beliau berkata, sambutan Hari Raya Haji dan ibadah korban juga dibenarkan, tetapi tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam.