7 JUN : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin memuji tindakan Pakatan Harapan (PH) yang tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
“PH diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun membuktikan mereka lebih mengutamakan kepentingan dan keselamatan negara serta rakyat mengatasi segalanya. Itu merupakan langkah yang cukup terpuji diputuskan oleh majlis pimpinan PH diketuai Anwar dan sewajarnya dicontohi,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.
Tambah Sharkar dalam keadaan negara masih berperang dengan penularan pandemik Covid-19, setiap parti politik termasuk calon bebas seharusnya berjiwa besar dengan tidak bertanding.
“Cuma apa diharapkan… jangan pula ada calon bebas yang memutuskan bertanding PRK DUN Chini dan disokong pula oleh pihak-pihak tertentu. Dalam keadaan negara masih belum bebas dari penularan pandemik Covid-19, ini bukan masa sesuai untuk pilihan raya diadakan,” ujarnya.
Katanya lagi, apa yang penting dan perlu menjadi keutamaan semua pihak pada ketika ini adalah keselamatan negara dan rakyat jika pandemik Covid-19 berjaya diputuskan 100 peratus.
Soalnya walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan PRK Chini, namun adakah ia dijamin selamat 100 peratus dalam melindungi kesihatan dan keselamatan semua pihak termasuk pengundi
“Jadi, langkah yang wajar dan tepat adalah tiada pertandingan di PRK Chini dan memberi kemenangan percuma kepada penyandang kerusi.
“Daripada wang dibelanjakan untuk PRK, adalah lebih wang itu digunakan untuk kebajikan rakyat yang terkesan teruk ekoran penularan wabak Covid-19. Ini bukan masa sesuai untuk kita berpolitik, bersama-samalah membantu kerajaan memutuskan rantaian pandemik Covid-19 demi keselamatan negara dan rakyat secara keseluruhannya.
“Tunggulah apabila tiba masanya nanti (Pilihan Raya Umum Ke-15), berlawanlah dan biar rakyat yang menentukan siapa pilihan mereka,” tegasnya.