8 JUN: Perkembangan COVID-19 hari ini mencatatkan jumlah kes paling rendah dengan tujuh jangkitan baharu sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kekal 117 kes.
“Daripada tujuh kes baharu yang dilaporkan, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
“Daripada kes penularan tempatan, tiada kes membabitkan bukan warganegara manakara rakyat Malaysia pula lima orang,” kata pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.
Sehingga kini, keseluruhan mangsa yang dijangkiti adalah 8,329 orang.
Seramai 1,518 orang sedang dirawat, dengan 6 berada di unit rawatan rapi dan seorang memerlukan bantuan alat pernafasan.
Sementara itu, seramai 20 pesakit dilaporkan pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh 6,694 orang. –Oleh ASLINDA NASIR