8 JUN: Seramai 400,581 orang di seluruh dunia, meninggal dunia akibat Covid-19 sejak wabak ditemui di China, akhir 2019.
AFP melaporkan jumlah itu berdasarkan data rasmi yang turut menghimpunkan 6,949,890 kes berdaftar di 196 negara, setakat semalam.
Amerika Syarikat (AS) paling terjejas wabak dengan merekod 110,037 kematian, diikuti Britain (40,542) Brazil (35,930), Itali (33,899) dan 29,155 kematian di Perancis.
Di Iran, Kementerian Kesihatannya memaklumkan lonjakan kes jangkitan baharu yang dilapor adalah hasil pertambahan ujian, bukannya wabak itu semakin buruk.
Manakala Perancis mencatat 13 kematian dalam tempoh 24 jam, adalah rekod terendah sejak 14 Mac.
Sementara itu, jumlah kes di Arab Saudi melebihi 100,000 yang diperakui Kementerian Kesihatannya, bahawa terdapat jangkitan kes baharu, menjelang permulaan musim haji.
Bagaimanapun, pihak berkuasa kerajaan itu masih belum mengumumkan sama ada ibadat haji yang dijadualkan mulai penghujung Julai, dapat dilaksana atau tidak.
Kerajaan United Kingdom pula mengumumkan pembukaan semula rumah ibadat pada 15 Jun, namun aktiviti keagamaan membabitkan perhimpunan besar tidak dibenarkan.
Greece menambah perintah berkurung selama dua minggu lagi di kem pelarian sesak, sekali gus menjejaskan lebih 33,000 orang di kem Kepulauan Aegean, manakala 70,000 orang di kemudahan lain di tanah besar.
Kematian akibat Covid-19 di Peru mencatat 5,000 orang, dengan sumber rasmi memaklumkan hospitalnya kekurangan ventilator yang menyukarkan merawat 9,500 kes.
Cuba mengkelaskan pandemik negara itu sebagai ‘terkawal’ selepas lapan hari berturut-turut mencatat sifar kematian. Negara itu mempertimbangkan untuk membuka sekatan secara berperingkat, minggu ini.
Di Algeria, kedai dan premis perniagaan mula beroperasi selepas sekatan dilonggarkan, sebelum kerajaan menilai semula pada 13 Jun ini.