8 JUN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan harapan agar rakyat Malaysia berbilang bangsa, agama dan budaya akan terus mengekalkan kemakmuran dan perpaduan yang dikecapi bersama selama ini.
Seri Paduka bertitah demikian dalam perutusan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang disiarkan dalam laman Facebook Istana Negara, hari ini.
Al-Sultan Abdullah mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia terbuka hati untuk bersatu memikul peranan membantu kerajaan menjayakan usaha-usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama.
Seri Paduka menyeru rakyat terus bersabar dan berdisplin dengan tatacara serta amalan kebiasaan baru dan mematuhi semua perintah yang dikeluarkan oleh kerajaaan dalam usaha membanteras dan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.
Seri Paduka menyanjung tinggi terhadap komitmen dan pengorbanan yang dicurahkan oleh para petugas keselamatan dan barisan hadapan dalam memerangi wabak ini.
Al-Sultan Abdullah mendoakan agar Malaysia terus dilindungi dari semua bentuk ancaman, dirahmati dan diberkati serta dikurniakan dengan kemakmuran dan perpaduan yang berkekalan.