8 JUN: Jumlah kes Covid-19 di Arab Saudi melepasi 100,000 pada Ahad, di tengah-tengah lonjakan baru dalam jangkitan virus itu beberapa minggu menjelang permulaan musim haji, kata Kementerian Kesihatan.
Jumlah kes positif kini meningkat kepada 101,914 orang – tertinggi di negara Teluk – dengan 712 kematian, kata Kementerian Kesihatan.
Bilangan pesakit Covid-19 meningkat selepas ia melonggarkan sekatan pergerakan ketat, dengan jumlah kes harian melepasi 3,000 orang buat hari kedua berturut-turut pada Ahad.
Jumaat lalu, Riyadh mengumumkan sekatan pergerakan baru di bandar Jeddah, pintu masuk ke Makkah bagi membendung lonjakan kes Covid-19.
Langkah itu termasuk perintah berkurung mulai 3 petang hingga 6 pagi, dengan pekerja sektor awam dan swasta di bandar Laut Merah itu tidak dibenarkan ke tempat kerja serta larangan solat berjemaah di masjid.
Selepas melonggarkan langkah pencegahan di negara itu akhir bulan lalu, Kementerian Kesihatan berkata, langkah ketat mungkin dilaksanakan semula di Riyadh yang menyaksikan peningkatan berterusan kes kritikal Covid-19.
Riyadh berkata, penggantungan umrah diteruskan kerana kebimbangan terhadap penularan Covid-19.
Pihak berkuasa belum mengumumkan sama ada ibadah haji akan diteruskan tahun ini, tetapi ia menggesa umat Islam menangguhkan persiapan buat sementara waktu.
Kira-kira 2.5 juta jemaah dari seluruh negara mengerjakan ibadah haji tahun lalu.