8 JUN: Kementerian Kesihatan menjangka jumlah kes denggi akan meningkat dalam gelombang kedua bermula awal bulan ini hingga September.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi itu dijangka berlaku berikutan kebanyakan tempat yang melibatkan sektor ekonomi, aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan sudah lama ditutup sekali gus menjadikannya berisiko sebagai tempat pembiakan nyamuk.
Namun, menurut beliau, tempat-tempat berkenaan akan dibuka semula apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan bermula 10 Jun.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta meningkatkan tahap kebersihan di kawasan masing-masing, terutamanya tempat takungan air dan yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk.
“Usaha membanteras nyamuk aedes dan demam denggi adalah tanggungjawab semua, seperti mana juga masyarakat berganding bahu memutuskan penularan jangkitan COVID-19,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini. – Oleh ASLINDA NASIR