8 JUN: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, perlu meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Muar jika beliau didapati terbabit dengan penyelewengan dana milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu perlu kerana sebelum ini Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada pernah bersumpah akan meletak jawatan serta-merta jika terdapat bukti kukuh beliau terbabit dengan kes rasuah atau salah guna kuasa.
“Syed Saddiq dan Armada harus jujur kepada diri sendiri. Tatkala pemimpin-pemimpin UMNO ditahan dan disiasat belum pun dihukum, merekalah yang berterusan mentohmah dan memfitnah UMNO dengan pelbagai label seperti pencuri dan perompak.
“Sebaliknya apabila mereka pula yang ditahan SPRM atas penemuan RM600,000 tunai di rumah pemimpin Armada, begitu mudah menuding jari dan mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menekan mereka kerana menyerang Perdana Menteri.
“Syed Saddiq seharusnya berterus-terang memfokuskan isu penemuan sejumlah wang tunai yang begitu besar di rumah kepimpinan pemuda mereka. Apakah ini juga untuk tujuan perbelanjaan baik pulih rumah sebagaimana alasannya sebelum ini?” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Asyraf juga mempersoalkan bagaimana Syed Saddiq dapat mengumpul sejumlah wang yang banyak dalam tempoh 22 bulan menjadi menteri.
“Di bawah AMLA mereka boleh didakwa jika gagal mengemukakan bukti yang sah sumber wang yang begitu besar.
“Jika gagal, moleklah Syed Saddiq mengotakan janji dan sumpah beliau atas nama Allah di Parlimen untuk meletakkan jawatan Ahli Parlimen Muar sebagai suatu tanggungjawab moral,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM merampas wang tunai RM600,000 daripada dua ahli Armada dipercayai wang parti yang disalah guna.