8 JUN: PAS yakin semua parti yang membentuk Perikatan Nasional (PN) bersedia memuktamadkan pembahagian kerusi sebelum tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ditetapkan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerjasama politik terutamanya antara PAS bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin mantap, sekali gus berjaya memperkukuhkan lagi kedudukan kerajaan PN.
Menurut beliau, PAS juga yakin semua parti bersedia memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama.
“PAS yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan
barisan bersama termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU 15 meskipun tarikhnya belum diputuskan.
“PAS juga amat yakin kerjasama dan sikap bertoleransi semua anggota PN kini akan menguatkan lagi kedudukan kerajaan PN sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri sehingga ke akhir penggal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, tanpa menghiraukan segala spekulasi pembangkang yang hanya perang psikologi semata-mata, PAS akan terus sama-sama komited mendukung dan mempertahankan kedudukan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan Kabinetnya yang terdiri daripada semua wakil parti.
“Adalah suatu fakta yang jelas bahawa kerjasama politik antara PAS dengan BN, khususnya UMNO, telah dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman pada 14 September 2019, sekali gus membentuk Muafakat Nasional (MN).
“Manakala kerjasama sehingga terbentuknya kerajaan Persekutuan ekoran kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 29 Februari 2020, diikuti pemeteraian memorandum persefahaman oleh Pengerusi dan Presiden BN, BERSATU, PAS dan parti dari Sabah dan Sarawak secara rasminya telah membentuk PN,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI