9 JUN: Pemimpin komuniti Islam di Itali memohon lebih banyak ruang untuk dijadikan tanah perkuburan susulan peningkatan kematian akibat Covid-19 yang turut mengorbankan ramai umat Islam di negara itu.
Sehingga kini, umat Islam di Itali berdepan kekurangan tanah perkuburan bagi mengebumikan jenazah, ekoran peningkatan terhadap permintaan untuk dikebumikan di negara itu.
“Kami turut mengalami penderitaan (akibat Covid-19) dan kesakitan itu bertambah apabila terdapat keluarga yang tidak dapat mencari tempat untuk mengebumikan jenazah kerana tiada bahagian untuk orang Islam di tanah perkuburan di bandar,” kata Imam Masjid Milan Sesto, Abdullah Tchina.
Lebih 34,000 ribu orang maut akibat Covid-19 di Itali, kebanyakannya di kawasan perindustrian di utara dengan pengangkutan udara juga hampir lumpuh sejak beberapa bulan lalu.
Justeru, ramai umat Islam yang maut akibat Covid-19 dan juga disebabkan faktor lain tidak dapat dibawa ‘pulang’ ke negara asal seperti mana yang diamalkan sebelum ini.
Ia menyebabkan permintaan terhadap pengebumian bagi umat Islam di Itali melonjak tinggi namun hakikatnya negara itu kekurangan ruang bagi tanah perkuburan Muslim.
Malah ada umat Islam di Itali yang bukan sahaja harus melakukan perjalanan yang jauh sehingga 50 kilometer (km) hanya untuk mengebumikan jenazah, malah lebih malang apabila terpaksa meninggalkan jasad selama beberapa hari di masjid atau rumah sementara mencari lokasi yang sesuai untuk disemadikan.
Terdapat kira-kira 2.6 juta penduduk Muslim di Itali iaitu mewakili 4.3 peratus daripada keseluruhan populasi negara itu di mana kebanyakannya menetap di wilayah utara dengan 56% memiliki kewarganegaraan asing termasuk dari Afrika Utara dan Asia Selatan.
Bagaimanapun, tiada statistik rasmi berhubung jumlah kematian umat Islam akibat wabak itu di Itali sama ada membabitkan rakyat Itali ataupun warga asing.
Menurut Kesatuan Komuniti Islam Itali, hanya terdapat 76 perkuburan Islam di negara itu bagi memenuhi kapasiti hampir 8,000 kawasan perbandaran dengan kawasan pusara tertua dibina pada 1856 di bandar Timur Laut Trieste, sementara di Rom bermula pada 1974.
Sementara itu, di tanah perkuburan di Bruzzano iaitu kawasan pinggiran Milan, Mustapha Moulay hanya mampu menatap pusara isterinya yang maut akibat Covid-19 pada 7 April lalu pada usia 55 tahun.
Musthapa yang berusia 50-an dan berasal dari Maghribi ini berkata, isterinya dijangkiti wabak berkenaan di sebuah hospital di Milan ketika menerima rawatan akibat pembedahan kecil di bahagian kaki.
Beliau yang sudah 32 tahun menetap di Itali berkata, kubur itu tidak memiliki batu nisan sebaliknya hanya ditandakan dengan batu kelikir berbanding jenazah yang dikebumikan sebelum tercetusnya wabak di mana pusara mereka kelihatan lebih ‘sempurna’ yang disimen dan ukiran batu marmar.
Sementara itu, menurut akhbar La Repubblica, kisah seorang penduduk berhampiran bandar di utara Brescia, Hira Ibrahim, lebih tragis apabila terpaksa menyimpan jenazah ibunya sehingga 10 hari di rumah.