PRK DUN Chini: BN mampu raih 95% undi
8 JUN: Calon Barisan Nasional (BN) mampu meraih lebih 95 peratus undi hasil kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkiraan itu adalah berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Berdasarkan keputusan PRU-14, jika kita cantumkan undi BN masa itu dan undi PAS sudah menghampiri 95 peratus. Calon PKR cuma dapat dalam lingkungan lima peratus (undi).
“Sekiranya setiap pengundi yang mengundi calon UMNO dan PAS betul-betul komited pada Muafakat Nasional, ia bererti bahawa kita telah mencapai 95 peratus.
“Itu atas kertas, tapi realitinya kita akan cuba menghampiri sasaran tersebut,” katanya seperti dipetik dari laporan Sinar Harian.
Namun, Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan, keputusan akhir akan ditentukan oleh beberapa faktor-faktor termasuk pengundi luar.
Jelasnya, kemungkinan pengundi luar yang balik mengundi pada PRU-14 sekali lagi akan kembali pada PRK yang dijadualkan pada 4 Julai.
“Namun, kita pasti BN akan terus kekal di Chini kerana kemarahan rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih belum reda kerana menipu warga Felda yang kononnya mahu memansuhkan hutang peneroka,” jelasnya.
Berhubung profil pengundi, Najib berkata, peneroka Felda generasi pertama dan kedua terdiri membentuk kumpulan terbesar iaitu kira-kira 82 peratus manakala golongan belia di bawah umur 40 tahun seramai 56 peratus.
“Bilangan pengundi muda ini perlu diberi perhatian dengan memahami cita rasa mereka bagi meraih sokongan,” katanya.