10 JUN: Hanya dua kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan ia jumlah kes harian terendah sejak penyakit itu dikesan di negara ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, satu kematian turut dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhann 118 kematian.
“Daripada dua kes baharu yang dilaporkan, satu adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
“Daripada kes penularan tempatan, hanya satu kes membabitkan bukan warganegara dan tiada penularan melibatkan warganegara,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Sehingga kini, Malaysia merekodkan 8,338 pesakit dijangkiti virus itu dengan 1,206 orang masih dirawat di hospital.
“Lima kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, tiada yang memerlukan bantuan pernafasan.”
Katanya, 39 kes pulih dicatatkan hari ini, menjadikan keseluruhannya 7,014 orang. – Oleh ASLINDA NASIR