10 JUN: Lima universiti awam di Malaysia diiktiraf sebagai antara 200 universiti atau 1 peratus terbaik di dunia oleh Penarafan Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) 2021.
Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataan media hari ini memberitahu, lima universiti tempatan tersebut adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
“Kejayaan ini secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi di rantau ini.
“Di samping itu, ianya juga dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia,” jelas kementerian itu.
Lebih membanggakan, Kementerian Pengajian Tinggi menyatakan, UM tersenarai sebagai antara 100 universiti terbaik di dunia serta berada di tempat ke-59 dalam senarai universiti terbaik dunia berbanding di tempat ke-70 pada tahun 2019.
“UM juga telah berjaya disenaraikan dalam kedudukan 100 universiti terbaik sejak tahun 2018 iaitu tujuh tahun lebih awal daripada sasaran malah berjaya mengekalkan dan meningkatkan kedudukan setiap tahun sehingga ke kedudukan hari ini,” kata kementerian berkenaan.
Dalam perkembangan yang sama, tiga universiti swasta di Malaysia berjaya menunjukkan peningkatan yang membanggakan iaitu Taylor’s University mendahului di kedudukan ke-379, diikuti oleh UCSI University di tangga ke-391 dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) di kedudukan ke- 439.
Selain itu, 11 lagi universiti awam dan swasta turut disenaraikan dalam kalangan 1,000 universiti terbaik Penarafan Universiti Dunia QS 2021.
Universiti-universiti tersebut adalah Management and Science University (MSU), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sunway University, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Multimedia University (MMU), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Dalam Laporan QS juga dinyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik di dalam penarafan kali ini. Sistem pendidikan negara telah diiktiraf dalam kalangan ahli akademik dan majikan di peringkat antarabangsa,” ujarnya lagi. – Oleh ASLINDA NASIR