10 JUN: Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Howard Lee sepatutnya melihat diri dalam cermin terlebih dahulu sebelum menuduh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersifat munafik dalam politik.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, gesaan yang dibuat Asyraf sebenarnya bertujuan menggesa semua ahli dan parti politik supaya melakukan gencatan politik buat sementara waktu bagi memberi laluan pemulihan ekonomi berjalan lancar.
Beliau mempersoalkan sama ada gesaan itu merupakan suatu yang munafik dalam politik ketika negara dan rakyat sedang dihimpit kesukaran akibat penularan COVID-19.
“Dalam keadaan negara pada ketika ini sedang berperang melawan pandemik COVID-19, adakah Howard dan DAP lebih mengutamakan politik dari aspek keselamatan negara dan rakyat?
“Howard sedar atau tidak siapa sebenarnya yang munafik dalam politik? Bukankah Pakatan Harapan (PH) yang menumbangkan PH sendiri? Bukannya UMNO atau parti politik lain,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan melalui Facebook.
Mohd Hairi turut mengingatkan Howard bahawa tindakan kepimpinan PH yang mementingkan diri sendiri merupakan satu pengkhianatan besar kepada amanah rakyat yang mengharapkan mereka dapat mentadbir negara dengan cemerlang selepas menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Namun, beliau memberitahu, perkara itu tidak berlaku sama sekali, sebaliknya rakyat didendangkan dengan cerita perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin mereka hampir setiap hari sejak mereka menjadi kerajaan pada Mei 2018.
“Akhirnya, akibat perebutan kuasa dalam kalangan pimpinan PH sendiri, kerajaan PH tumbang selepas hanya 22 bulan mentadbir negara ini.
“Itulah sikap munafik politik dalam kalangan pimpinan PH dan DAP sendiri yang mana mereka munafik dari segi perbuatan dan amalan mereka,” jelasnya,
Lebih dikesali, kata Mohd Hairi, pimpinan DAP dan PH berbohong apabila tidak menunaikan manifesto PRU-14 serta mencabul janji-janji yang diikrarkan. – Oleh HUSSAINI AMRAN