10 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bahawa tiada perubahan dari segi dasar penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel, bukan seperti yang dilaporkan sebuah portal berita hari ini.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya memandang serius laporan media berhubung pembatalan warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Menurut beliau, penetapan harga runcit petrol dan diesel adalah melalui Mekanisme Harga Automatik (APM) dipengaruhi oleh harga minyak yang diproses selari dengan harga minyak mentah dunia.
“Sejak 30 Mac 2017, harga jualan runcit petrol dan diesel ditetapkan secara mingguan dan dikuatkuasakan oleh KPDNHEP melalui warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah AktacKawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Tujuan pewartaan adalah untuk menguatkuasakan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel oleh syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak agar tidak melebihi harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Walau bagaimanapun, menurut beliau, mulai 29 Februari lalu KPDNHEP menukar mekanisme penguatkuasaan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel melalui Surat Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Perubahan mekanisme ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan pemantauan di peringkat KPDNHEP sekiranya terdapat sebarang pelanggaran arahan di bawah akta yang berkuat kuasa,” ujarnya.
Beliau berkata, dalam menjamin kepentingan pengguna, KPDNHEP komited memastikan pematuhan semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak terhadap harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.
“Mengambil kira trend semasa harga minyak mentah dunia, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Sebuah warta kerajaan bertarikh 3 Jun lalu menyatakan harga siling terhadap minyak petrol dan diesel sudah dibatalkan oleh kerajaan Persekutuan.
Merujuk kepada warta tersebut, Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) (No 8) (Pembatalan) 2020, mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dibuat Pengawal Harga, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad. – Oleh MOHD FAIRUZ YUSOF