31 kes baharu COVID-19, tiada kematian
11 JUN : Sebanyak 31 kes baharu COVID-19 dilapor, di mana 11 kes merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 20 lagi kes penularan tempatan.
Walau bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, tiada kematian dilaporkan, menjadikan keseluruhannya kekal 118 kematian.
“Daripada 31 kes baharu yang dilaporkan, 11 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.
“Baki 20 kes adalah penularan dalam negara, iaitu 19 membabitkan bukan warganegara dan hanya satu adalah warganegara Malaysia, iaitu kes di Selangor bagi saringan pusat tahfiz.
“Perincian 19 kes dalam kalangan bukan warganegara ialah 16 daripada Kluster Pedas di Negeri Sembilan dan masing-masing satu daripada kluster Kampung Sungai Lui, Selangor, kluster syarikat pembersihan Kuala Lumpur dan saringan pekerja di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media, hari ini.
Sehingga kini, Malaysia merekodkan 8,369 orang dijangkiti virus itu manakala seramai 1,186 pesakit sedang dirawat di hospital.
“Lima sedang dirawat di unit rawatan rapi. Daripada jumlah tersebut, tiada yang memerlukan bantuan alat pernafasan.”
Dalam masa yang sama, sebanyak 51 kes pulih dicatatkan hari ini, menjadikan keseluruhannya 7,065 orang atau 84.4 peratus daripada angka keseluruhan kes. – Oleh ASLINDA NASIR