11 JUN : Individu yang sedang menjalani proses kuarantin wajib di rumah diingatkan supaya tidak memotong gelang tangan pengesanan Covid-19 dalam tempoh 14 hari menjalani prosedur berkenaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan memotong gelang tangan itu sewenang-wenangnya adalah satu kesalahan mengingkari kuarantin wajib.
“Walaupun berada di rumah, mereka tidak boleh memotongnya sehingga tarikh akhir 14 hari kurantin berkenaan.
“Selepas melalui saringan pada hari ke 13, mereka akan melalui saringan sekali lagi dan selepas didapati negatif baharu individu terbabit dibebaskan untuk keluar dan gelang tangan berkenaan dipotong.
“Kesalahan mengingkari kuarantin wajib adalah kompaun RM 1,000 atau dihadapkan ke mahkamah,” katanya pada sidang media di Putrajaya, Khamis.