11 JUN: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan membuat lebih banyak pendedahan lagi berkaitan peguam, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Memetik laporan portal TwentyTwo13, beliau berkata, pendedahan tentang Gopal yang dihantar Dr Mahathir untuk membincangkan penahanan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri merupakan satu permulaan.
Mohamed Apandi menambah, banyak lagi kisah yang akan dimuatkan dalam memoir yang bakal diterbitkan nanti.
“Bab tentang Gopal Sri Ram hanyalah sebahagian kecil daripadanya. Ada banyak lagi perkara lain. Insiden Pulau Batu Puteh… mengapa Dr Mahathir menarik balik kes itu pada saat-saat terakhir walaupun semuanya telah difailkan dan ditetapkan untuk pendengaran.
“Banyak, banyak cerita. Banyak yang perlu ditulis, banyak yang perlu diberitahu,” katanya.
Mohamed Apandi memberitahu, beliau membuat pendedahan dalam Facebook malam tadi kerana mahu rakyat mengetahui perkara sebenar.
Beliau turut menjelaskan mengapa pendedahan itu dibuat sekarang.
“Kerana saya mendapati Gopal Sri Ram bertindak seolah-olah beliau Peguam Negara. Beliau bukan Peguam Negara. Dia seperti lebih sudu dari kuah. Itu sahaja.
“Saya tidak berdendam dengan beliau tetapi rakyat perlu tahu,” jelasnya.
Mohamed Apandi juga menyatakan, beliau belum berhasrat untuk membuat laporan polis lagi.
“Kita tunggu dan lihat. Tengoklah nanti. Saya tak takut kepada sesiapa pun kecual Allah,” katanya.
Beliau turut menafikan pendedahan itu bermotif politik serta menegaskan bahawa beliau tidak lagi mempunyai kaitan dengan UMNO.