Peter mengaku tidak bersalah 5 tuduhan rasuah
11 JUN: Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah transaksi bernilai RM8.75 juta yang didakwa dilakukan antara Julai 2014 hingga Januari 2016.
Memetik laporan Borneo Today, Peter, 49, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat selepas pertuduhan terhadapnya yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibacakan.
Bagi pertuduhan pertama, pada 25 Julai 2014, Naib Presiden Parti Warisan Sabah itu didakwa terlibat dalam transaksi haram membabitkan nilai RM1.75 juta di Maybank Jalan Perpaduan, Kampung Air, Kota Kinabalu.
Menurut pertuduhan kedua pula, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap didakwa melakukan aktiviti haram dengan menerima wang sebanyak RM2 juta di lokasi sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang memperuntukkan hukuman denda RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, pada 5 September 2014, Peter didakwa menerima wang haram membabitkan nilai RM500,000 juga di lokasi sama.
Bagi pertuduhan keempat dan kelima, beliau didakwa menerima wang masing-masing bernilai RM400,000 dan RM4.1 juta di bank yang sama.
Pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut dibuat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah nilai aktiviti haram atau RM5 juta atau mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu dalam prosiding hari ini, Peter diwakili barisan peguam Luke Ressa Balang, Martin Tommy, Cedric Choo dan Datuk Douglas Lind.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Akram Garib dan Mohd. Faliq Basiruddin.
Dalam prosiding itu, SPRM meminta mahkamah menetapkan nilai ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin terhadap Peter.
SPRM turut meminta mahkamah menyimpan pasport antarabangsa beliau dan mengarahkan Peter melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan.
Abu Bakar kemudian menetapkan nilai jaminan sebanyak RM500,000 ke atas Peter dengan dua penjamin manakala pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah dan beliau perlu melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap dua bulan.
Walau bagaimanapun Abu Bakar berkata, Peter boleh membuat permohonan untuk mendapatkan pasport tersebut jika ada keperluan penting.
Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada pukul 10 pagi, 8 Ogos ini.