11 JUN: UMNO dan PAS perlu segera berbincang tentang pengagihan kerusi sebagai persediaan awal berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, langkah itu bertepatan dengan situasi politik semasa yang semakin mencabar.
Menurut beliau, perbincangan itu dapat mengelakkan berlaku pertembungan antara kedua-dua parti.
“Secara tidak langsung kita mampu mengelak daripada tercetusnya sebarang kesan negatif terhadap kedua-dua parti.
“Sebagai contohnya di Kelantan, kita tahu bahawa dua parti sahaja yang menjadi pilihan pengundi iaitu PAS dan UMNO,” jelasnya.
Kegagalan UMNO dan PAS mengadakan rundingan berhubung pengagihan kerusi dalam PRU-14 telah menyebabkan berlaku pertandingan tiga penjuru di kawasan majoriti pengundi Melayu.
Akibatnya, undi orang Melayu terbahagi kepada tiga parti dan sebahagian daripada kerusi yang disandang UMNO dan PAS terlepas ke tangan PH.