11 JUN: Tindakan DAP mempertahankan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam isu pembatalan pembekuan empat akaun bank milik seorang taikun hartanah mencetuskan banyak persoalan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, DAP menyatakan Tommy mengambil tindakan yang betul sebab taikun hartanah terbabit yang disaman di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) telah memulangkan wang kepada kerajaan.
Namun, menurut beliau, dalam kes anak tirinya, Riza Aziz yang juga disaman di bawah akta yang sama, DAP kata tidak adil walaupun Riza mengembalikan jumlah wang lebih daripada yang diterimanya sebagai dana pelaburan filem.
Najib menjelaskan, Riza memulangkan sebanyak AS$288 juta berbanding AS$248 juta yang diterimanya.
“Tapi penyelesaian kes taikun hartanah yang bos dia Lim Guan Eng menjadi runner dikatakan adil pulak?
“Lagipun Riza buat dengan cara yang betul iaitu melalui surat representasi peguam dia kepada peguam negara dan bukan melalui pintu belakang untuk minta Menteri Kewayangan dan PM tolong seperti kes taikun,” kata Najib dalam hantaran Facebook beliau, hari ini.
Sehubungan itu, Najib meminta pihak media bertanya soalan tersebut kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.
Beliau turut mengemukakan empat soalan tambahan yang perlu ditanya kepada Ramkarpal:
Adakah Tommy bertindak betul untuk bocorkan maklumat siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan butiran akaun developer kepada Guan Eng?
Adakah Guan Eng bertindak betul dengan menulis surat kepada PM7 untuk minta PM setuju nyah beku akaun taikun hartanah?
Adakah Guan Eng bertindak betul untuk tulis surat kepada Tommy untuk arahkan Tommy nyah beku akaun taikun hartanah dengan memetik nama PM7?
Adakah Guan Eng buat #duakerja masa itu sebagai runner developer di samping kononnya menjaga duit dan ekonomi Malaysia? – Oleh HUSSAINI AMRAN