11 JUN: Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak akan menyertai Pakatan Harapan (PH) walaupun parti itu kini bersekutu dan bekerjasama dengan gabungan pembangkang tersebut.
Memetik laporan BH Online, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ada perkara lebih penting yang perlu diberi keutamaan oleh partinya.
“Ada isu yang lebih penting di mana kita perlukan pentadbiran yang kukuh dan pastikan urusan pentadbiran Sabah dapat diuruskan dengan baik.
“Keutamaan kita adalah untuk mentadbir negeri dengan baik dan menjaga kepentingan rakyat,” jelasnya.
Berhubung mesyuarat bersama pimpinan PH dan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin, beliau memberitahu, kebimbangan terhadap situasi politik semasa dan COVID-19 merupakan antara isu yang dibincangkan.
Mohd Shafie menambah, selain COVID-19, ‘COVID-politik’ juga boleh mengancam kestabilan negara.
“Inilah yang menjadi masalah walaupun Yang di-Pertuan Agong sudah bertitah untuk uruskannya dengan baik,” katanya.