12 JUN: Rakyat lebih tenang dan selesa dengan kerajaan hari ini yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) dalam menguruskan negara.
Itu hujah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang mendakwa negara hadapi zaman gelap selagi Pakatan Harapan (PH) tidak ambil semula mandat.
Menurut Asyraf, Ahli Parlimen Parit Buntar itu mendakwa rakyat bakal menderita hadapi politik elitis, perkauman dan keagamaan.
“Walau apapun hujah kekanda, adinda yakin rakyat lebih tenang dan selesa dengan kerajaan hari ini yang bebas daripada DAP dan petualang-petualang agama.
“Mereka dalam kalangan gabungan PH terutama Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR yang hakikatnya bertanggungjawab memainkan sentimen agama dan bangsa sepanjang 22 bulan berkuasa. Apa pandangan rakan-rakan?,” soalnya dalam hantaran menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas artikel yang ditulis oleh Mujahid dalam sebuah akhbar semalam bertajuk ‘Perikatan Nasional pertahan apa?’. – Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF