12 JUN: Pakatan Harapan (PH) dikatakan tidak berani menuntut Parlimen dibubarkan lebih awal kerana menyedari bahawa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak akan memihak kepada mereka.
Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, PH sebenarnya tidak bersedia untuk menentang kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang turut didukung oleh UMNO dan PAS melalui kerangka Muafakat Nasional (MN).
Menurut beliau, penyatuan parti-parti politik Melayu di bawah payung MN memberi isyarat bahawa kuasa politik Melayu kini bersatu dan utuh tidak sebagaimana PRU-14 lalu sehingga mampu memenangkan PH.
“Adalah dijangkakan kiranya PN berhadapan satu lawan satu dengan PH, hampir keseluruhan kerusi-kerusi Parlimen majoriti Melayu lebih 50 peratus iaitu kira-kira 102 di Semenanjung sahaja akan dimenangi PN.
“Manakala jika diambil kira kerusi-kerusi majoriti Melayu atau bumiputera Islam di Sabah dan Sarawak pula bermakna MN dengan bantuan rakan-rakan di Sabah dan Sarawak mampu memenangi lebih dari 120 kerusi iaitu cukup untuk membentuk kerajaan Persekutuan,” jelasnya dalam komentar yang disiarkan dalam Harakahdaily.
Roslan menambah, jumlah itu tidak termasuk beberapa kerusi campuran yang pengundi Melayu Islam dominan, contohnya Bangi yang mempunyai komposisi 49 peratus dan Bentong 47 peratus yang kini diwakili DAP.
Beliau memberitahu, jumlah itu juga tidak termasuk kerusi-kerusi campuran yang mungkin dimenangi MCA, MIC dan parti-parti bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak.
“Kerana itu PH tidak berani menuntut Parlimen dibubarkan. Jika bubar waktu ini, adalah dijangka PKR dan PAN akan menjadi mangsa utama lenyap dihanyutkan oleh penolakan kuat dari pengundi Melayu Islam khususnya manakala DAP sendiri akan kehilangan beberapa kerusi dari 42 yang ada dalam tangan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN