12 JUN: Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) tidak memerlukan kerajaan mengambil pinjaman asing.
Memetik laporan BERNAMA, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan sebenarnya menggunakan pinjaman tempatan dengan memanfaatkan pasaran bon tempatan, khususnya Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).
Menurut beliau, pada masa ini, jumlah hutang berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) aalah berada pada 52 peratus, iaitu di bawah had statutori 55 peratus.
“Kuncinya adalah kita perlu memastikan kita mempunyai mudah tunai mencukupi dalam pasaran…yang mana kita ada.
“Jika Malaysia perlu menaikkan had statutori hutang berbading KDNK pada 55 peratus, memandangkan tempoh yang mencabar dan belum pernah berlaku sebelum ini, ia perlu pada asas sementara, dengan fokus menurunkannya kembali dalam tempoh terdekat…tiga tahun rasanya paling sesuai,” katanya.
Tengku Zafrul juga yakin Malaysia mampu menampung jangkaan defisit yang diunjurkan pada kira-kira 5.8 hingga 6.0 peratus tahun ini.
Beliau memberitahu, unjuran itu adalah berdasarkan kepada rekod prestasi Malaysia yang baik sekali gus mengurangkan defisit daripada 6.7 peratus pada 2009 semasa krisis kewangan kepada kira-kira tiga peratus dalam masa lima tahun.
Jangkaan defisit tahun mengambil kira harga minyak berada pada AS$30 setong (minyak mentah Brent) dan pelaksanaan pelan rangsangan dan pemulihan jangka pendek kerajaan.
Tengku Zafrul berkata, dengan pelaksanaan pakej rangsangan yang cekap, kerajaan menjangka sumbangan kepada KDNK sebanyak 2.8 peratus daripada Prihatin dan 0.6 peratus daripada Penjana.