11 JUN: Bekas Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhammad Zahid Md Arip bakal dilantik sebagai Senator mewakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Dewan Negara.
Selain berkhidmat untuk bekas Perdana Menteri itu, Muhammad Zahid juga pernah menyandang jawatan Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI).
Beliau juga pernah bertugas sebagai pegawai khas bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Memetik laporan Malaysia Gazette, dua lagi pemimpin Bersatu yang akan dilantik sebagai Senator ialah Tan Sri Dr Rais Yatim dan Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.
Dua tokoh PAS yang bakal menjadi Senator ialah Naib Presidennya, Idris Ahmad dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas, N Balasubramaniam.
Merujuk kepada senarai edaran yang dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S A Vigneswaran semalam, lima bakal Senator berkenaan akan mengangkat sumpah pada 22 Jun ini.