13 JUN : Seperti yang dijangka, ADUN Sementa, Dr. Daroyah Alwi hari ini mengumumkan keluar dari PKR bersama beberapa pimpinan Selangor yang lain.
Jelasnya tindakan tersebut diambil kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan pusat yang dilihat tidak lagi memperjuangkan reformasi seperti dulu, sebaliknya lebih mementingkan kuasa yang ingin dirampas dari kerajaan hari ini.
“Saya mengumumkan hari ini perletakan jawatan saya sebagai Ketua Wanita PKR Selangor berkuatkuasa parti ini 13 Jun 2020.
“Keputusan ini dibuat kerana saya sudah hilang rasa yakin dan percaya kepada Presiden dan pimpinan parti tentang hala tuju dan idealisme perjuangan parti ini.
“Hala tuju parti kini lebih kepada perpecahan dan pentaksubnya juga gagal menjalankan amanah yang diberi,” katanya lagi.
Dr Daroyah yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, itu turut meletakkan jawatan sebagai orang nombor dua dalam sayap wanita parti itu.
Buat masa ini, jelas Daroyah lagi beliau tidak akan menyertai mana-mana parti, dan akan menjadi ADUN Bebas dan mesra kepada kerajaan hari ini. – Oleh ASLINDA NASIR