13 JUN: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu rungutan rakyat ekoran kekeliruan mengenai bil elektrik tinggi diselesaikan sebaik mungkin.
“Saya terima banyak rungutan dan aduan dari rakyat beberapa hari ini berkaitan rasa tidak puas hati mereka setelah menerima bil elektrik yang dilihat ‘tinggi’ sama ada di kawasan perumahan mahupun bangunan komersial.
“Kita semua sedia maklum sumbangan besar yang pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) berikan kepada kita semua dan negara selama menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.
“Walaupun sudah ada penjelasan dari TNB, tetapi masih tidak cukup untuk memenuhi kegelisahan rakyat,” katanya menerusi posting Facebooknya.
Bil mencecah RM1,600 dikenakan ke atas rumah peneroka di kawasan hulu Gua Musang, Kelantan tidak masuk akal.
Menurut Ahmad Zahid, penjelasan perlu diteruskan dengan lebih mudah atau tindakan penghantaran tiga bil bulanan yang dilihat lebih rendah dan difahami, iaitu apa sahaja bagi meredakan isu berkenaan.
Katanya, jangan kerana sudah menjadi kerajaan, rakyat melihat mereka mahu dipermainkan dan ini sudah tentu bukan hasrat kerajaan sekarang. Jangan kita tambah bebanan rakyat yang sedang mengalami kesulitan ketika ini.
“Namun, rakyat juga harus faham akan tugas dan bebanan yang dihadapi TNB selaku penyedia tunggal bekalan elektrik dalam negara ini.
“Jangan ada prasangka bahawa TNB mahu kenakan mereka. Jauh sekali mahu aniaya mereka. Marilah kita selesai isu ini segera.
“Bahkan, saya yakin rakyat pasti akan berkorban untuk negara jika kita berlaku adil kepada mereka. Jika kena caranya, rakyat amat memahami, begitulah sebaliknya,” katanya.