2 ADUN UPKO keluar parti, sokong PN
15 JUN: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah dari parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.
Memetik laporan Borneo Today, mereka ialah ADUN Sugut, Datuk James Ratib dan ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.
Mereka turut meletak semua jawatan yang disandang dalam UPKO dan belum membuat keputusan menyertai mana-mana parti.
Sementara itu, Astro Awani melaporkan, James dan Limus mengambil tindakan tersebut kerana hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan kepimpinan UPKO kerana memberi peluang bersama-sama dalam kerajaan negeri,” kata mereka dalam sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.
Kedua-dua bekas pemimpin UPKO itu turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.