15 JUN: Kementerian Kesihatan mengesahkan satu kluster baharu dikenal pasti selepas tiga penghuni rumah penjagaan warga emas di Kuala Selangor disahkan positif COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes dikenal pasti pada 17 Mei lalu hasil saringan dibuat di pusat penjagaan warga emas terbabit.
Berikutan itu Dr. Noor Hisham berkata, sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan ujian saringan terhadap 12 kakitangan dan 26 penghuni rumah berkenaan dan didapati semua kakitangan serta 24 penghuninya mendapat keputusan negatif.
“Selepas hampir sebulan, kes ketiga didapati positif COVID-19 daripada saringan dalam kalangan pesakit Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan kini dimasukkan ke Hospital Tanjung Karang pada 13 Jun lalu.
“Ini merupakan saringan kali kedua bagi mereka (negatif pada saringan kali pertama semasa saringan pusat penjagaan warga emas). Pengesanan kes secara aktif sedang dijalankan dan langkah-langkah pencegahan turut diambil termasuk nyah kuman dan nyah cemar,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Dr. Noor Hisham juga mengesahkan terdapat 54 kes pulih dilaporkan hari ini menjadikan jumlah individu sudah pulih sepenuhnya mencecah 7,400 atau 87.1 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19.
Katanya, setakat pukul 12 tengah hari tadi, 41 jangkitan baharu dilaporkan yang menjadikan jumlah kes positif di negara ini ialah 8,494 dengan jumlah kebolehjangkitan sebanyak 973 kes.
“Daripada 41 kes baharu dilaporkan, tiga adalah kes import warganegara yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 38 kes penularan di dalam negara pula, 32 membabitkan bukan warganegara, manakala enam lagi dalam kalangan warga Malaysia.
“Hingga kini, empat kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada individu yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Beliau juga memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini dan ia jumlah kumulatif kematian akibat wabak itu kekal 121 kes atau 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Terdahulu, Dr. Noor Hisham mengesahkan hampir 3.7 juta rakyat Malaysia direkodkan mendaftar dan menggunakan aplikasi MySejahtera dalam tempoh lapan minggu ia beroperasi.
Dr. Noor Hisham berkata, antara fungsi MySejahtera yang paling banyak digunakan dalam kalangan 3,692,287 pengguna itu ialah penjejakan kawasan panas (hotspot tracker) dan penilaian kendiri.
Beliau berkata pengguna juga merujuk statistik terkini bagi COVID-19 di Malaysia, negara ASEAN dan seluruh dunia.
“MySejahtera Check-In adalah fungsi terbaharu yang diperkenalkan secara rintis pada 1 Jun dan digunakan secara meluas mulai 6 Jun lalu.
“Fungsi ini mendapat sambutan hangat di mana dalam masa hanya 13 hari, sebanyak 119,837 premis pernigaan sudah mendaftar untuk Kod QR dan sebanyak 10,006,857 pendaftaran dicatat di seluruh negara,” katanya. – HAIKA KHAZI