15 JUN: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu bertahan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hasil pelaksanaan pelbagai dasar dan inisiatif yang menggembirakan rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, usaha pembangkang untuk menggugat keutuhan kerajaan PN adalah perbuatan yang sia-sia.
Malah, beliau memberitahu, PN lebih disenangi rakyat kerana mereka dapat melihat sendiri kesungguhan kerajaan sedia ada menjaga keselamatan dan kebajikan mereka ketika negara berdepan pandemik COVID-19.
“Justeru, saya percaya usaha pakatan parti pembangkang untuk merampas kuasa tidak tercapai dan sia-sia sahaja kerana hampir seluruh rakyat Malaysia sekarang menyokong penuh setiap tindakan dan dasar dilaksanakan kerajaan sekarang.
“Kalau rakyat suka dan menyokong penuh usaha dilakukan kerajaan sekarang maka kita akan mampu bertahan sehingga ke akhirnya,” katanya kepada PNBBC Portal ketika meninjau kemudahan LRT laluan Kelana Jaya, hari ini.
Terdahulu, Tajuddin yang juga Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melancarkan pelaksanaan pas perjalanan My30 di Stesen LRT KL Sentral, Kuala Lumpur.
Beliau mengulas tentang dakwaan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya mereka mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan PN.
Sehubungan itu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak menyatakan, beliau yakin Anwar belum mendapat sokongan majoriti wakil rakyat untuk merampas kembali kerajaan daripada PN.
“Saya tidak yakin Anwar sudah mempunyai sokongan daripada ahli Parlimen lebih daripada 112 kerusi untuk membolehkan PH kembali membentuk kerajaan Persekutuan,” jelasnya.
Beliau berpandangan, sekiranya dakwaan itu benar, Ahli Parlimen Port Dickson tersebut pasti tidak berlengah-lengah untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong. – Oleh HAIKA KHAZI