Prasekolah, tabika buka semula 1 Julai
15 JUN: Kerajaan membenarkan semua prasekolah dan tabika di seluruh negara dibuka semula mulai 1 Julai ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan pembukaan premis-premis terbabit serta prosedur operasi standard (SOP) berkaitan telah dibentangkan Kementerian Pendidikan pada mesyuarat khas hari ini.
Menurut beliau, keputusan itu membabitkan 6,216 prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan, 7,887 prasekolah swasta, 1,781 tabika di bawah Kementerian Perpaduan Negara serta 8,530 tabika kelolaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
“SOP terperinci mengenai pembukaan semula institusi itu akan diumumkan Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri menyatakan, kerajaan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah ditunaikan di semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dengan bilangan jemaah kurang 40 peratus daripada kapasiti sebenar kedua-dua rumah ibadat berkenaan.
Beliau berkata, kebenaran itu diberikan atas kerjasama rakyat yang sangat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan aktiviti ibadah di masjid dan surau.
Walau bagaimanapun, Ismail Sabri memberitahu, masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di lokasi yang dikategorikan sebagai zon merah tidak dibenarkan sama sekali untuk beroperasi.
“Kebenaran ini adalah secara umum buat Wilayah Persekutuan namun bagi masjid dan surau di negeri lain, kebenaran itu tertakluk pada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.
“SOP masih sama, tetap tidak boleh melebihi sepertiga daripada kapasiti sebenar masjid dan surau dan kita berharap agar semua mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
Pada masa yang sama, Ismail Sabri berkata kerajaan juga memberi kebenaran kepada 5,230 rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara untuk beroperasi semula seperti sediakala.
“Rumah ibadat bukan Islam boleh beroperasi pada hari dan masa seperti biasa dengan kehadiran sepertiga daripada keluasan rumah ibadah,” jelasnya.
Namun, beliau memberitahu, kebenaran dan permulaan operasi tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri dan SOP yang ditetapkan, termasuk memuat turun aplikasi MySejahtera atau memberi maklumat secara manual. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH