15 JUN: Baru-baru ini tular dalam media sosial senarai tokoh-tokoh politik yang dikatakan terlibat dalam sebuah parti baharu yang dinamakan Parti Keadilan Negara.
Salah seorang daripada mereka yang berada dalam senarai tersebut ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Walau bagaimanapun, memetik laporan BERNAMA, beliau menafikan perkara tersebut.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu menyatakan, perkara itu hanya diketahuinya selepas seorang pegawainya menunjukkan ciapan di Twitter yang mengandungi gambar cara organisasi parti berkenaan.
“Saya hanya tahu mengenainya daripada media sosial. Saya tak tahu dan tidak terlibat dengan perbincangan parti baharu.
“Pegawai saya yang tunjuk dan kata nama saya (diletakkan) sebagai setiausaha agung dalam carta organisasi itu,” katanya kepada pemberita di Chini, Pahang, semalam.
Senarai tersebut turut memaparkan nama seorang menteri kanan sebagai ketua parti yang turut dianggota sekumpulan pemimpin politik lain.